Sekolah Perubatan, Universiti Malaysia Sabah telah menganjurkan persidangan 3rd International Conference on Rural Medicine (ICORM) 2011 pada 22hb - 24hb November, bertempat di Hotel Le’ Meridien Kota Kinabalu, Sabah. Persidangan yang dianjurkan setiap dua tahun sekali ini bertujuan untuk memartabatkan usaha global ahli akademik, ahli perubatan dan penyelidik untuk berbincang tentang taraf kesihatan masyarakat khususnya di luar bandar. Dengan tema “Health Transformation in Challenging Economies”, persidangan ini dihadiri oleh hampir 200 peserta dan penceramah jemputan dari serata dunia termasuk Australia, Korea Selatan, India, Kanada dan Brunei.
Majlis perasmian telah dirasmikan oleh Profesor Madya Dr D Kamarudin D Mudin, Pemangku Dekan Sekolah Perubatan, selaku wakil kepada Yang Berhormat Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia. Acara simbolik pukulan gong diiringi oleh Dr Lokman Hakim bin Sulaiman, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Kementerian Kesihatan Malaysia yang mana juga menyampaikan keynote address pada hari tersebut, serta Profesor Madya Dr Shamsul Bahari Shamsudin, pengerusi 3rd ICORM 2011. Persidangan diserikan lagi oleh majlis makan malam yang turut dihadiri oleh YB Datuk Masidi Manjun, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah dan Brig. General Prof Datuk Seri Panglima Dr Kamaruzaman Haji Ampon, Naib Canselor UMS.
Disamping itu, keynote address pada hari kedua disampaikan oleh Dr Jamail bin Muhi, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Jabatan Kesihatan Negeri Sabah disertai oleh plenary session oleh salah seorang penceramah jemputan iaitu Profesor Dr Roger Strasser. Manakala sepanjang hari ketiga persidangan, para peserta dibawa ke Ranau dan Kudat untuk menjayakan program “Outreach Community”. Dalam masa yang sama, peserta dapat melihat sendiri kehidupan masyarakat diluar bandar serta menikmati keindahan alam semula jadi negeri Sabah. Pelbagai pengalaman menarik diperolehi sepanjang program tersebut kerana rombongan diceriakan oleh tarian tradisional suku kaum di Sabah dan lawatan ke tempat-tempat pelancongan utama.
Persidangan ini bukan sahaja dapat meningkatkan pembangunan dan pembentukan kurikulum pendidikan kesihatan luar bandar, tetapi juga menggalakkan kerjasama dalam melakukan kegiatan penyelidikan diantara agensi-agensi terlibat. Secara tidak langsung, 3rd ICORM 2011 telah mengharumkan nama Universiti ke peringkat global, sekaligus menjadi pemangkin kepada rakyat untuk meningkatkan kesedaran dalam mengamalkan gaya hidup yang sihat di zaman ekonomi yang mencabar ini.