Tuesday

Sekolah Perubatan UMS






Dalam menghasilkan graduan yang liberal dan berciri global khususnya dalam bidang perubatan, Sekolah Perubatan Universiti Malaysia Sabah bersedia untuk membuka ruang kepada para siswazah dalam memartabatkan ilmu mereka menuju horizon pemikiran yang lebih kreatif dan kritis. Mula ditubuhkan pada tahun 2003 bersama Dekan perintisnya, Profesor Dr Osman Ali, sokongan padu pihak pengurusan dan kakitangan sekolah telah berjaya memastikan sekolah ini dapat memulakan sesi pengajaran dengan menerima 32 orang pelajar tahun pertama pada Jun 2003.

Keteguhan fikiran warga sekolah telah menyumbangkan banyak pencapaian yang boleh dibanggakan. Diantaranya ialah persidangan “International Conference on Rural Medicine (ICORM)” yang diadakan setiap 2 tahun sekali. Persidangan ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan diplomatik sesama negara, malah turut meningkatkan kesedaran kepada masyarakat mengenai transformasi yang perlu dilakukan untuk  menjana kesihatan luar bandar khasnya pada zaman ekonomi yang mencabar ini. Selain itu, projek inovasi yang dihasilkan oleh kakitangan juga cemerlang sehingga berjaya merangkul beberapa anugerah dalam Pertandingan Penyelidikan & Reka Cipta (PEREKA) dan Konvensyen Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK). Diantara pencapaian tersebut ialah melalui Program Perkongsian Universiti-Keluarga (PUPUK), projek Sterilization & Scrubbing Protection Sensor (SPS) serta projek “Kelewatan Penyediaan Peralatan Klinikal – Troli Dinamik”.

Disamping itu, Sekolah Perubatan juga aktif dalam menjalankan aktiviti penyelidikan. Pada tahun 2011 sahaja, seramai 16 orang pensyarah sedang melakukan penyelidikan dalam program kesihatan dan bioperubatan. Manakala peluang kerjaya yang boleh diceburi oleh graduan sekolah ini begitu cerah. Mengikut kelulusan yang mereka perolehi, graduan boleh menawarkan diri untuk menjadi pegawai perubatan, jururawat dan Juruteknologi Makmal Perubatan (MLT) sama ada di pusat kesihatan kerajaan ataupun swasta. Peluang pekerjaan ini mendapat sokongan kerana Malaysia bakal membina lebih banyak hospital dan klinik di seluruh negara pada masa akan datang demi kesihatan rakyat sejagat. Dengan hanya 30 orang siswazah yang berkonvo pada tahun 2008, jumlah graduan Sekolah Perubatan meningkat kepada 136 orang pada tahun 2011 mengikut program yang diceburi. Manakala jumlah keseluruhan graduan setakat ini adalah seramai 270 orang.

Sekolah ini mempunyai 5 buah blok bangunan untuk penempatan tujuh Jabatan Perubatan, bangunan Fasiliti Bersepadu dan bangunan pentadbiran dengan keluasan lantai berjumlah 32,000 meter persegi. Ia juga mempunyai blok-blok klinikal yang bertempat di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu, Riverside Kingfisher dan Hospital Duchess of Kent Sandakan. Untuk kemudahan kakitangan dan pelajar, sekolah dilengkapi dengan gimnasium, perpustakaan, kafeteria, surau, makmal komputer, makmal penyelidikan dan dewan kuliah beserta kamera litar tertutup (CCTV). Untuk perkhidmatan pula, sekolah mewujudkan Poliklinik UMS di Riverside King Fisher, muzium plastinasi serta unit Penyelidikan Perubatan Desa di RMEC, Sikuati Kudat.  

1 comment:

  1. saya mpertimbangkan untuk masuk sekolah perubatan. boleh tolong explain lagi tentang peluang untuk melanjutkan pelajaran untuk lepasan sekolah perubatan?

    ReplyDelete