Tuesday

Penyerahan Bangunan Baru Sekolah Perubatan

Pada 5hb Julai 2011, satu majlis Penyerahan Projek-Projek Siap UMS telah berlangsung di bangunan Pusat Pengajian Pascasiswazah, Universiti Malaysia Sabah. Acara bermula pada jam 2.00 petang dengan ketibaan YBhg Datuk Ab. Rahim bin Md. Noor selaku Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Majlis ini turut dihadiri oleh YBhg Brig Jeneral Prof Datuk Seri Panglima Dr Kamaruzaman Haji Ampon (Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah), YBhg Dato’ Ir Haji Mohammad bin Husin (Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya 1) dan para kakitangan universiti. 

Majlis penyerahan bangunan dimulakan dengan penyerahan Dewan Kuliah Pusat, Pusat Pengajian Pascasiswazah dan seterusnya bangunan Sekolah Perubatan. Dengan terletaknya di kawasan penjuru kampus di antara dua kawasan paya bakau yang dilindungi oleh pihak UMS, keluasan lantai adalah berjumlah 32,000 meter persegi dan dibina di atas tapak seluas 32 ekar. Pembinaan bangunan ini bernilai RM259 juta dan telah dimulakan pada 2hb Mei 2008 dan disempurnakan pada 28hb April 2011. 

Terdapat sebanyak lima buah blok bangunan iaitu tiga blok menempatkan tujuh buah Jabatan Perubatan iaitu Surgical Base, Medicine Based, Reproductive, Pathobiology, Biomedical, Medical Education dan Community (Blok C, D, E), bangunan Fasiliti Bersepadu (Blok B) dan bangunan pentadbiran (Blok A). 

Dengan kewujudan bangunan baru ini, ia dapat meletakkan UMS sebagai salah sebuah Universiti tempatan yang lebih berketerampilan dan berkualiti. Kemudahan dan fasiliti yang baik juga membantu para pensyarah menghasilkan kerja-kerja penyelidikan mahupun memberi peluang kepada pelajar untuk terus cemerlang di dalam pendidikan mereka.   

No comments:

Post a Comment